Wednesday 15 April 2015

Bukan Sekadar Mukmin










Dp BBM Gambar kata mutiara Mukmin kuat



KOLUMNIS BERITA HARIAN -IKIM FM
BUKAN SEKADAR MUKMIN
PENULIS NIK HASNAH ISMAIL
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Bayyinah, ayat 7-8 bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan merekapun redha kepadaNya.Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.
Sesungguhnya seseorang yang digelar sebagai mukmin adalah orang yang benar-benar memahami tuntutan sebagai insan kamil yang menjalani peranannya sebagai khalifah Allah dengan iman dan taqwa yang tinggi kepada Allah SWT. Orang Islam yang disebut sebagai mukmin itu adalah bukan sekadar menganut agama Islam semata-mata, tetapi mukmin dalam ertikata benar-benar memperaktikkan suruhan Allah SWT sehingga menjadikannya penghuni syurga Allah yang tertinggi.
Menerusi rancangan Tarbiah bersama Ustaz Sharizan Daud at-Turabi yang bersiaran setiap hari Jumaat 10.00 pagi di radio IKIMfm, beliau menjelaskan melalui ayat suci al-Quran “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan, mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta).” (Surah al-Mukminun, ayat 1-5).
Orang yang mempunyai ciri-ciri mukmin yang sebenar adalah orang yang mempunyai perwatakan akhirat dan kehidupannya di dunia ini digunakan dengan setaqwa mungkin kerana setiap amalan dan perbuatan dunia merupakan cerminan akhirat. Seorang mukmin harus benar-benar ikhlas dan selalui meningkatkan amal ibadahnya kepada Allah serta berusaha melipatgandakan ketaatan kepada Allah kerana tidak ada yang paling bahagia dalam hidup ini apabila kehidupan kita mendapat keredhaanNya.
Bagaimanapun Ustaz Sharizan turut menjelaskan, terdapat tiga golongan manusia yang berwatak akhirat tetapi mereka adalah ahli neraka. Mereka ini seperti yang dinukilkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SWT bersabda mafhumnya terdapat tiga golongan ‘alim’ tetapi tempat mereka di dalam neraka. Mereka adalah golongan pertama iaitu orang yang mati di jalan Allah. Ketika dia dimasukkan ke dalam neraka, dia berkata, “Ya Allah bukankah aku dulu berjihad di jalan-Mu? Aku membela agamaMu, aku berperang dan mati dalam membela agamaMu.” Maka kata Allah SWT “Engkau dusta. Engkau berperang supaya dianggap berani. Supaya dianggap sebagai pahlawan.”
Justeru, berhati-hatilah apabila kita tidak ikhlas dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Setiap perbuatan yang kita lakukan untuk tujuan mendapat sanjungan Allah, walaupun kita sanggup berjihat mengorbanan nyawa dan harta, jika dilakukan dengan niat untuk mendapat pujian dan penghargaan, allah tidak memandangnya sebagai amal pahala untuk menaikkan darjat kita, sebaliknya walaupun kita dianggap sebagai syahid tetapi Allah menempatkan kita di nerakaNya.
Berhati-hatilah terhadap akibat dari perbuatan yang suka mencari populariti, pujian dan dambaan  dan kebanggan di hadapan orang lain.
Golongan kedua adalah orang penghafal Al Quran. Iaitu golongan yang disebut sebagai ahli agama atau ahli ibadah. Mereka ini adalah golongan awal yang dimasukkan ke neraka di hari kiamat. Kata orang ini kepada Allah SWT “Ya Allah bukankah aku dulu belajar agama supaya aku dapat mengajarkan agama di jalanMu?”. Maka jawab Allah SWT “Engkau dusta. Engkau belajar agama supaya dianggap pintar dan bijak. Engkau belajar agama supaya dirimu dianggap alim. Engkau belajar agama supaya dihormati orang lain.”
Ibrah dari golongan ini member pengajaran kepada kita, bahawa sungguhpun mereka yang menuntut ilmu Allah ini adalah golongan mulia yang mendapat kedudukan tertinggi di sisis Allah tetapi jika mereka mempelajari ilmu Allah untuk menunjuk-nunjuk, bagi tujuan mendapat kehormatan, pangkat dan kedudukan duniawi, hakikatnya golongan seperti ini amat tercela di sisi Allah. Orang-orang yang belajar agama tapi niatnya bukan kerana Allah SWT, sebaliknya untuk dibangga-bangga dan membuatkannya menjadi sombongan, golongan ini juga adalah golongan yang terawal dihumban ke neraka.
Kemudian golongan ketiga adalah orang-orang yang banyak sekali hartanya tetapi oleh sebab itu jugalah mereka dimasukkan ke dalam neraka. Katanya “Ya Allah, bukankah aku telah bersedekah di jalanMu, berkongsi rezeki seperti anjuranMu?.” Maka jawab Allah SWT “Engkau dusta. Engkau memberi supaya dianggap dermawan. Engkau memberi supaya dianggap orang kaya. Engkau memberi supaya dianggap orang yang paling baik kepada orang lain.”
Golongan hartawan yang gemar bersedekah dan menghabiskan hartanya di jalan Allah tetapi dilakukannya untuk mendapat ganjaran duniawi seperti pujian, penghargaan, pembalasan dan dihormati tidak dikira oleh Allah amal perbuatannya untuk membawanya ke syurga sebaliknya golongan sebegini tempatnya adalah di neraka. Justeru kita diingatkan agar berhati-hati dengan amal ibadah kita yang dilihat satu perbuatan yang mulia, dilakukan untuk agama tetapi kerana sifat riak dan dilakukan bukan kerana Allah, maka perbuatan itu dianggap sebagai sia-sia.
Oleh demikian, mari sama-sama kita bermuhasabah diri cukupkah kita menjadi seorang mukmin dengan amalan seperti berjihad,menginfakkan harta, menuntut ilmu tetapi itu semua tidak menjadikan kita sebagai mukmin berjaya kerana ibadah kita itu tidak memberi apa-apa kualiti kepada diri kita dan mendapat kerehaan Allah dunia dan akhirat.
Melalui ayat suci al-Quran surah al-mukminun ayat 1 hingga 11 Allah menukilkan tentang kriteria golongan mukmin yang berjaya. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,. (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam solatnya, Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, Dan orang-orang yang menunaikan zakat, Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki [budak-budak belian yang didapat dalam peperangan dengan orang kafir]; Maka Sesungguhnya mereka dalam hal Ini tiada terceIa. Barangsiapa mencari yang di balik itu [zina, homoseksual, dan sebagainya] Maka mereka Itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka Itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. mereka kekal di dalamnya”.
Ciri-ciri mukmin yang baik ialah mereka yang menyelamatkan sekalian orang-orang Islam daripada lidahnya dan tangannya dan menjadi mukmin yang sanggup berkorban nyawa dan harta demi menegakkan agama Allah SWT.
Sifat mukmin yang lain ialah meninggalkan perkara-perkara yang sia-sia ataupun perkara-perkara batil yakni termasuk syirik kepada Allah SWT. Selain itu menunaikan zakat iaitu bertujuan untuk menyucikan dirinya daripada perkara-perkara riak dan keji. Mukmin yang beriman ini juga selalu memperbaiki dirinya dari segi solat, memperbanyakkan amalan sedekah, memelihara silaturahim dan banyak lagi sifat mahmudah yang akan menjadikannya mukmin yang benar-benar kamil.
Selain itu mukmin yang terbaik adalah mereka yang menjaga solat iaitu dengan sentiasa sembahyang di awal waktu sebagaimana Ibn Masu’d berkata: Aku bertanya Rasulullah tentang apakah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT?. Maka Rasulullah SAW menyatakan “Sembahyang di awal waktu , berbuat baik kepada ibubapa dan berjihad di medan peperangan. Qatadah berkata , menjaga solat bermaksud menjaga waktunya, ruku’nya dan sujudnya. Apabila seseorang mukmin itu bersifat dengan akhlak mahmudah tersebut maka Allah s.w.t akan mewariskan mereka syurga Firdaus.
Demikian seorang muslim itu tidak boleh hanya merasa berpuashati dengan menjadi seorang Islam yang beribadat secara biasa-biasa sahaja, sebaliknya menjadi insan yang selalui memperbaharui dirinya dengan amalan ibadah secara luar biasa agar mendapat kejayaan dunia akhirat dan seterusnya menjadi ahli syurga firdaus.

Dp BBM Gambar kata mutiara doa terhindar dari malas, pengecut, gelisah

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 November 2014

No comments:

Post a Comment