Tuesday 25 April 2017

ISLAM ITU INDAH (IKIM) : Solatoliks vs Workaholics

 


ASSALAMUALAIKUM..

KEPADA AMMAR DAN TASNEEM KHUSUSNYA DAN PARA PEMBACA TIDAK KIRA DIMANA ANDA BERADA .. HARAP BACA NI YEA ..SEMOGA INI  MENJADI PERMATA HIDUP DAN BERTAMBAH REZKI...AAMINN..




Solatoliks vs Workaholics


UNTUK memperbaiki dunia, kita perlu memperbaiki manusia. Untuk memperbaiki manusia kita perlu memperbaiki hati. Untuk memperbaiki hati manusia, bagi orang Islam perlulah perbaiki solatnya. Ini kerana solat adalah amalan yang paling intim menghubungkan manusia dengan Allah yang Maha Mencipta.
Bagi sesetengah orang yang hidupnya diuji dengan pelbagai masalah kehidupan seperti masalah keluarga, masalah kesihatan, masalah hubungan sesama manusia, masalah kewangan dan sebagainya, solat adalah jalan bagi mendapat ketenangan dan kekuatan berdepan dengan setiap ujian yang dilalui.
Menerusi rancangan Islam itu Indah yang disiarkan di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, berkata mulailah mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui amalan solat kerana dengan solatlah kita akan mendapat kekuatan spiritual yang akan menjadi benteng dalam menempuh ujian hidup.
Pengalaman menganjurkan program-program latihan, Ustaz Pahrol turut terdedah dengan pelbagai jenis kelompok manusia. Terdapat dua kelompok yang dikategorikan sebagai solatoliks dan golongan kedua adalah workaholics. Solatoliks adalah mereka yang rajin menunaikan ibadah solat tetapi tidak produktif, malas, mencuri tulang dalam melaksanakan tugas. Golongan kedua pula iaitu workaholics adalah mereka yang rajin, komited, kuat bekerja tetapi tidak menunaikan solat.
Dua kelompok ini bukan hanya wujud dalam organisasi pekerjaan sahaja, bahkan dalam institusi kekeluargaan atau masyarakat memang terdapat golongan yang kuat bekerja mencari pendapatan untuk menampung kehidupan keluarga. Sehingga terdapat pula ibu bapa yang begitu gigih mendidik anak-anak dengan memasukkan mereka ke kelas-kelas tertentu tetapi dalam masa yang sama mengabaikan didikan agama terutamanya ibadah solat.
Begitu juga ibu bapa yang gigih mencari rezeki, tetapi lupa untuk mencari keberkatan dalam kehidupan dengan cara menunaikan solat. Namun dalam masa yang sama ramai juga yang rajin beramal ibadat tetapi leka dalam menunaikan tanggungjawab mencari rezeki.
Persoalan di sini, mengapa perkara ini berlaku? Jika dilihat dari pandangan mata hati, kita akan menemui jawapan bahawa pertentangan ini berlaku kerana kejahilan atau kurangnya ilmu. Kurang pemahaman dalam menterjemah kepentingan sesuatu perkara membuatkan kita bersikap salah memandang amalan kehidupan ini.
Sikap atau sistem nilai berfikir amat penting dalam kita mencorak sudut pandang dengan cara yang betul. Sikap yang dibentuk oleh sistem nilai memainkan peranan penting dalam kita membuat keputusan yang betul dalam hidup kita.
World view atau cara kita memandang dunia, kehidupan, akhlak, perbuatan dan berfikir adalah kunci untuk kita melihat, mengamal ibadah-ibadah serta urusan kehidupan ini secara seimbang. Dalam melaksanakan ibadah terdapat tiga perkara yang saling berkait yang perlu difahami secara mendalam. 
Amalan solat adalah ibadah khusus, kerja mencari rezeki adalah ibadah umum dan melaksanakan amalan-amalan sunat adalah ibadah sunat. Ketiga-tiga pembahagian ini merupakan perkara yang melibatkan ibadah yang pastinya dinilai oleh Allah sebagai amalan yang memberi pahala kepada seseorang manusia. 
Sesuatu pekerjaan yang dilakukan jangan hanya dilihat sebagai urusan untuk mendapat rezeki meneruskan kelangsungan kehidupan semata-mata, kerana pekerjaan adalah satu ibadah yang wajar dilaksanakan seperti kita melaksanakan amalan ibadah yang lain.
Justeru, jangan sekali-kali melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah atau menjauhkan diri dari keberkatanNya. Mencuri tulang, mengumpat, melawan majikan, atau apa sahaja perbuatan buruk adalah amalan yang mengundang dosa kepada seseorang manusia.
Begitu juga amalan solat harian yang dilaksanakan. Bayangkan seseorang yang taat akan perintah Allah dalam amalan ibadahnya, dan melaksanakan pekerjaannya yang memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain, pastinya akan dapat membina ladang pahala yang begitu banyak di dunia dan juga akhiratnya.
Cara seseorang khalifah memberi kebaikan kepada orang lain adalah melalui pekerjaannya. Seperti kata Pak Hamka, “jika seseorang manusia bekerja hanya sebagai bekerja, kera di hutan juga bekerja”, tetapi bekerjalah dengan itqan yang akhirnya melalui pekerjaanlah membawa seseorang menghuni syurga Allah taala.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 April 2017